Isnin, 18 Februari 2008

Kasih sayang Allah

Bismillahirrahmaanirrahim

Dalam kesibukan kita mengejar masa yang berlalu, yang terkadang itu mampu untuk kita bergerak bersamanya atau terkadang juga kita jauh ketinggalan di belakang, janganlah hendaknya kita lupakan satu perkara. Perkara ini, andainya kita boleh untuk mengutip kembali perjalanan sejarah yang telah lepas pastinya kita akan lihat kesan dan bekasnya. Di mana mana sahaja. Samada ianya di kejauhan pergunungan Himalaya yang sejuk dan beku, atau di kesunyian Sahara yang panas dan terik, atau di kejiranan kita yang sentiasa hingar dan bingar. Atau , boleh juga kita perhatikan kesannya di dalam diri kita yang sunyi dan sepi pasti kita akan lihat kesannya.

Perkara yang di maksudkan itu ialah kasih dan sayang Allah kepada makhluqnya. Kepada mereka yang jauh dari kita. Kepada mereka yang dekat dengan kita. Kepada setiap yang berakal dan tidak berakal . Kepada barang apa yang mampu atau tidak mampu di jangkau oleh pancaindera kita.

Semua kita ini, tahu tentang kasih sayang Allah. Akan tetapi tahu itu tidak semestinya datang bersama keyakinan. Tahu itu juga tidak semestinya di beri peluang untuk merasai. Ramai di antara manusia kala ini mampu untuk menyatakan banyak perkara kepada orang ramai ,namun tidak ramai yang mampu untuk menyatakan kepada diri sendiri. Semua ini lantaran tahu dan yakin itu perkara yang berbeza. Kerana itu, andai kalian mendengar seorang pemidato yang lebat hujahnya, tegar kata katanya, jangan mudah untuk percaya bahawa beliau sendiri percaya dengan apa yang beliau ucapkan. Akan tetapi tiliklah hatinya, renungilah sanubarinya demi untuk mencari benar bicaranya.

Kasih Allah itu terlalu luas untuk di bicarakan dengan kata kata. Bahkan tiada kata kata yang mampu untuk menghuraikan kasih dan sayang Allah lantaran tempat lahirnya kasih, sayang dan cinta itu di hati maka yang mengukurnya juga adalah hati. Maka jika kalian mahu memahami tentang kasih Allah, sayang Allah, dan cinta Allah, bukakanlah hati seluas luasnya, jernihkan ia dari tiga perkara yang merosakkan, lupuskan ia dari dua perkara yang membinasakan. Andainya tidak, kasih dan sayang Allah itu selamanya tidak akan ternampak pada pandangan sanubari.

Bermulanya kasih Allah pada setiap makhluknya adalah semenjak mereka di wujudkan. Dan apabila terlahir di atas muka bumi ini, kasih dan sayang itu tetap sentiasa mengiringi. Di berikan ilham kepada bayi untuk menangis apabila lapar, ketakutan, panas, sejuk, sakit dan sebagainya tampa ada sesiapa yang mengajarkan si bayi itu. Ianya adalah tabi`e yang di taqdirkan oleh Allah kepada setiap makhluknya yang bernama manusia. Bukan kerana sesuatu melainkan kerana kasih dan sayangnya Dia kepada si makhluk.

Di campakkan pula kepada si ibu dan bapa, perasaan sayang dan cinta kepada anak kecil, hinggakan sanggup bersusah payah demi mamastikan si anak sentiasa sihat sejahtera. Sanggup berjemur di tengah panas, berlapar ketika ketiadaan makanan, bersengkang mata ketika demam semuanya adalah lantaran kasih dan sayang kepada si anak.

Pabila dewasa, dan pula si ibu bapa sudah tua, anak anak itu kembali berbakti kepada orang tua, menjaga mereka ketika sakit, menyuap nasi walau tumpah merata rata , sabar atas kenyanyukkan yang timbul, semuanya tiada lain lantaran kerana kaih dan sayang kepada orang tua.

Ada kalanya memberi dan di beri, ada kalanya di beri dan memberi. Semuanya putaran yang berlaku pada satu urutan seragam yang di namakan TAQDIR dan sunnatullah.

Maka, perhatikannlah, sebesar besar mana kasih dan sayang yang ada di atas muka bumi ini adalah secebis campakkan kasih sayang dari Allah. Sedangkan sebesar besar manapun kebencian yang ada pada muka bumi ini adalah campakan dari secebis kebencian hawa nafsu.

Perhatikanlah dengan aqal dan budi. Dan pandanglah anak anak kecil yang di hadapan kita, atau teman sejawat yang bersama kita itu dengan pandangan penuh kasih dan sayang. Dan jauhilah dari dua perkara yang membinaksakan tadi iaitu Hasad dan Dengki. Rendahkanlah hati kita walau kepada sesiapa pun di hadapan kita dan jauhilah dari tiga perkara yang merosakkan. Ujub, Ria` dan Takabbur.

Sebelum datangnya satu waktu.. apabila hati kita di tilik orang yang cerah sanubarinya. Sewaktu kita membicarakan bisikan bisikan syaitan bersama hati kita sedangkan bisikan itu bisa dan mampu di dengar oleh sanubari yang cerah malahan pula dia tetap berbuat baik kepada kita. Maka jadilah kita orang muslim yang di doakan oleh saudaranya bukan sebagai saudara yang mendoakan saudaranya yang lain. Sedang, tangan di atas itu lebih baik dari tangan yang di bawah.

Tiada ulasan: